‘Geng Daud’ aktif curi kabel tumpas, lima suspek diberkas

KEGIATAN licik ‘Geng Daud’ yang aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Batu Kurau akhirnya terbongkar apabila lima suspek diberkas polis dalam beberapa siri tangkapan bermula 2 April lalu.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, kes itu terbongkar selepas laporan dibuat pekerja sebuah syarikat telekomunikasi pada 28 Februari lalu berhubung kehilangan kabel serta peralatan di pencawang susulan gangguan talian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian disedari sehari sebelum itu ketika pemeriksaan dilakukan selepas menerima makluman pusat kawalan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan pada 2 April sebelum membawa kepada tangkapan susulan dua lagi suspek termasuk seorang warga Indonesia di Batu Kurau.

“Seorang lagi lelaki tempatan yang dipercayai pembeli barangan curi ditahan pada 3 April, manakala ketua kumpulan dikenali sebagai Geng Daud diberkas di Hutan Melintang pada 7 April,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama, hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah dan kesalahan narkotik, manakala warga asing serta pembeli barangan curi tidak mempunyai rekod lampau.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kumpulan berusia antara 30 hingga 48 tahun itu mencuri kabel untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

“Kumpulan ini mengadakan mesyuarat bagi membahagikan tugas sebelum bertindak dan mempelajari teknik mencuri kabel melalui media sosial.

“Mereka menjalankan kegiatan pada awal pagi dan membawa kabel dicuri kepada warga Indonesia untuk diproses,” katanya.

Sarudin berkata, polis turut merampas gumpalan wayar tembaga seberat 10 kilogram, sebuah kereta Proton Waja, resit jualan barangan lusuh serta peralatan seperti pemotong besi dan pisau.

Menurutnya, wayar tembaga yang diproses dijual pada harga RM40 sekilogram sebelum dipasarkan kepada premis barangan lusuh.

“Semua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Taiping pada 9 dan 10 April lalu mengikut Seksyen 431A, 411 dan 414 Kanun Keseksaan.

“Empat tertuduh mengaku salah dan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan kes disebut semula pada 7 Mei ini,” katanya.

Beliau turut menggesa orang awam supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan pencawang telekomunikasi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img