DUA lelaki ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri kabel di Taman Bukit Mewah, Kajang.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua lelaki tempatan berusia 29 dan 43 tahun itu masing-masing ditahan di Kajang dan Bandar Baru Bangi.
“Suspek pertama bekerja sebagai peniaga burger memiliki satu rekod jenayah manakala suspek kedua yang merupakan seorang penganggur mempunyai 10 rekod jenayah termasuk empat berkaitan kes narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan.
“Turut dirampas sebuah Perodua Axia berwarna perak yang digunakan semasa kejadian.,” katanya.
Naazron berkata, pihaknya kini mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


