SEORANG lelaki yang tular kerana mencuri dan merosakkan tabung derma surau bulan lalu dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Sapuan Abidin, 29, selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan serta mengambil kira empat rekod lampau.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai buruh kebun didakwa cuba mencuri wang tabung derma surau dan didakwa mengikut Seksyen 380 dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan khianat dengan merosakkan tabung derma milik Surau Kampung Parit Bingan sehingga menyebabkan kerugian RM45.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Kampung Parit Bingan, Parit Raja pada jam 5.28 petang, 24 Mac lalu.
Menurut fakta kes, pengadu berusia 57 tahun membuat laporan selepas mendapati kunci tabung dipecahkan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian menunjukkan tertuduh mengumpil kunci tabung menggunakan pemutar skru, namun gagal melarikan wang.
Bertindak atas maklumat, polis menahan tertuduh pada 9 April lalu di Kluang sebelum dia membawa pihak berkuasa ke sebuah stor yang menyimpan pakaian serta peralatan digunakan dalam kejadian.
Pendakwaan dikendalikan Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM1,500 bagi pertuduhan pertama, namun tertuduh dikenakan tambahan dua bulan penjara kerana gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara setahun dengan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 9 April lalu.


