SERAMAI 14 individu termasuk murid dan pelajar sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Joohor Bahru, hari ini atas pertuduhan bergaduh dan merusuh di hadapan sebuah sekolah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, Jumaat lalu.
Enam tertuduh berusia antara 12 hingga 16 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Sementara itu, lapan lagi tertuduh berusia 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan rusuhan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya di Jalan Silat Lincah pada jam 12.45 tengah hari, Jumaat lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan 29 April ini bagi mendapatkan laporan akhlak serta fakta kes terhadap enam yang mengaku bersalah, manakala bagi lapan lagi, tarikh sama ditetapkan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Kesemua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Dalam prosiding sama, seorang wanita, R Loganayagi, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar berusia 17 tahun di lokasi sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin serta tarikh sebutan semula pada 28 April ini.
Dalam mahkamah berasingan, S Lakhsmy turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dan menetapkan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin.


