Kerajaan akan teruskan projek rakyat – Alexander Nanta Linggi

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) memberi jaminan projek rakyat akan terus dilaksanakan, meskipun berdepan cabaran kos dan gangguan rantaian bekalan global ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tumpuan akan diberikan kepada projek pembinaan yang terjejas, khususnya membabitkan kontraktor yang berdepan tekanan.

Menurut beliau, kerajaan akan meneliti setiap projek bermasalah dan mengambil pendekatan bersasar bagi memastikan pelaksanaannya diteruskan.

“Kita memang tumpu kepada mereka yang bermasalah, khususnya kontraktor apabila projek terjejas.

“Apa sahaja yang boleh dibantu, kita akan bantu,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya (KKR) di ibu negara hari ini.

KKR semalam dilaporkan memberitahu, lebih banyak projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya di seluruh negara dijangka berdepan kelewatan berikutan peningkatan harga bahan binaan serta kos diesel susulan krisis geopolitik Asia Barat.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, cabaran dihadapi industri pembinaan ketika ini berpunca faktor luar kawalan termasuk ketegangan geopolitik global yang memberi kesan kepada harga minyak serta kos bahan binaan.

“Dalam industri pembangunan, memang kerja-kerja terganggu dari segi kos dan pelaksanaan. Namun setakat ini, kita masih mampu bertahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua agensi di bawah KKR termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) menyesuaikan pendekatan pelaksanaan projek agar lebih fleksibel dan responsif terhadap keadaan semasa.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img