JABATAN Kerja Raya (JKR) telah diarahkan menyiasat secara terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir yang menyebabkan runtuhan tembok penahan berhampiran Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, JKR juga diarahkan untuk menilai tahap integriti struktur di kawasan terbabit dan mengesyorkan langkah mitigasi tambahan tanpa kompromi.
“Mana-mana kelemahan dari sudut pelaksanaan, penyeliaan, pematuhan teknikal atau pengurusan tapak mesti dikenal pasti dan ditangani segera.
“KKR (Kementerian Kerja Raya) tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan keselamatan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata tindakan segera sudah pun diambil di lokasi termasuk kerja pembersihan kawasan insiden, pembukaan papan dendeng (hoarding) di sepanjang Jalan Abang Haji Openg, pemasangan penghadang konkrit bersama geotekstil sepanjang kira-kira 200 meter, serta kerja penyahenapan dan baik pulih sistem Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimentasi (ESCP) di tapak pembinaan.
Beliau juga memaklumkan, langkah berkenaan penting untuk menstabilkan keadaan semasa dan mengurangkan risiko susulan.
Dalam kejadian semalam, tembok penahan sedia ada berhampiran tapak projek Menyiapkan Baki Kerja Pembangunan Zon Pentadbiran Taman Persekutuan Bukit Kiara, Kuala Lumpur – Fasa 1B di Jalan Abang Haji Openg, TTDI runtuh susulan hujan lebat.
Mengulas lanjut beliau berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian berlaku susulan hujan lebat antara 3.30 petang hingga 5.30 petang yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek dan pemerhatian awal menunjukkan kapasiti air dari kawasan bukit menyebabkan ban tanah pecah dan mengalir ke silt trap 1 (perangkap kelodak).
“Dalam masa sama, sistem saliran awam di bahagian hilir didapati tidak dapat menampung aliran berkenaan dengan berkesan, termasuk wujud halangan utiliti di bahagian tertentu menyebabkan air bertakung, melimpah ke jalan awam dan memberi tekanan kepada tembok penahan sedia ada hingga mengakibatkan sebahagiannya runtuh bersama papan dendeng,” katanya.
Dalam pada itu, Nanta Linggi meminta setiap pihak yang terbabit dalam projek berkenaan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan mematuhi semua arahan teknikal yang dikeluarkan.
Beliau berkata, KKR akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa dan memastikan tindakan susulan diambil secara telus, bertanggungjawab dan berfokus kepada keselamatan rakyat.


