POLIS sedang mengesan waris seorang lelaki warga asing yang ditemui meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah pada 16 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Hospital Sungai Buloh.
Menurutnya, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50-an, namun identitinya masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan awal dan siasatan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, polis kini giat mengesan waris atau kenalan mangsa bagi membantu proses pengecaman identiti serta siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Azmir Azriezal Ramli di talian 019-5665870 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.


