POLIS meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan yang mengakibatkan seorang penunggang wanita maut di Jalan Sungai Petani-Kuala Ketil, Ahad lalu untuk tampil menyalurkan maklumat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, dalam kemalangan itu, pekerja kilang, Balqis Natasya Habibulah, 21, meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kejadian berlaku pada jam 7.50 malam apabila motosikal ditunggang mangsa menghala ke arah Sungai Petani dipercayai hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh di kanan jalan.
“Mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


