SERAMAI 80 individu disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian dibawa ke Mahkamah Tawau bagi menghadapi pertuduhan di bawah kawalan ketat polis.
Semua tertuduh tiba dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau kira-kira jam 9.11 pagi dengan menaiki dua trak sebelum dibawa masuk secara berperingkat ke dalam kompleks mahkamah.
Mereka dilihat digari dan dirantai dalam beberapa kumpulan kecil, dengan sebahagian kelihatan tenang manakala ada yang cuba mengelak daripada dirakam lensa kamera.
Keadaan dalam bilik bicara turut sesak berikutan jumlah tertuduh yang ramai sehingga sebahagian mereka terpaksa duduk di lantai termasuk di ruang galeri awam.
Prosiding dijalankan dengan bantuan jurubahasa mahkamah kerana majoriti tertuduh hanya memahami bahasa Mandarin.
Kesemua suspek sebelum ini direman dua kali pada 8 dan 11 April sebelum dibawa ke mahkamah hari ini bagi proses pertuduhan selepas tempoh reman tamat.
Kes itu terbongkar susulan serbuan kira-kira jam 9.20 malam pada 7 April lalu yang berjaya menumpaskan kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis dari China.
Sindiket berkenaan dipercayai menyasarkan mangsa di luar negara, khususnya warga China yang menetap di Amerika Syarikat.


