Suspek pukul isteri pernah kahwin 9 kali, jadikan penjawat awam sasaran

POLIS mendedahkan suspek kes memukul isteri hingga parah dan mengalami keguguran di Bandar Amanjaya, Alor Setar, minggu lalu dipercayai mempunyai sejarah perkahwinan sehingga sembilan kali serta 11 anak.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 43 tahun itu juga dipercayai masih mempunyai tiga isteri, dengan perkahwinan terbaharu bersama mangsa dilakukan di Selatan Thailand.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek mempunyai modus operandi tersendiri dengan menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya penjawat awam.

“Kalau kita tengok, suspek ini cari pasangan yang mempunyai pekerjaan tetap, kebanyakannya kakitangan kerajaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Beliau berkata, semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, kebanyakannya melibatkan keganasan terhadap isteri dan teman wanita.

“Antara kesalahan direkodkan termasuk di bawah Seksyen 325, 323, 318 dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, antara kes terdahulu termasuk kejadian mencederakan isteri di Johor Bahru pada 2021 yang menyaksikan suspek dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, namun kini dalam proses rayuan di mahkamah.

Adzli berkata, suspek berjaya ditahan pada jam 4.45 petang semalam di sebuah rumah inap di Alor Setar selepas dipercayai bersembunyi.

“Pagi tadi, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibenarkan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kereta Mercedes-Benz, empat telefon bimbit serta sebatang besi dan penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Dalam kes terbaharu, mangsa yang juga isteri suspek berusia 39 tahun dan merupakan penjawat awam dipercayai menjadi mangsa penderaan berulang sejak beberapa bulan lalu.

“Mangsa mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan, patah tulang belakang serta lebam di seluruh badan.

“Lebih menyayat hati, mangsa turut mendakwa mengalami keguguran akibat dipukul suspek,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Khamis lalu, wanita berusia 39 tahun itu dilaporkan cedera parah selepas dipukul suaminya di kediaman mereka di Bandar Amanjaya, Alor Setar.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img