POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian pelajar kolej perempuan yang dibunuh secara kejam dengan 61 kesan tikaman selepas penemuan mayatnya di Kampung Kubang Kiat di Ketereh tengah malam semalam.
Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 19 tahun itu ditahan malam tadi di sekitar Ketereh.
Polis dijangka akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi ini.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita yang ditemukan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, tengah malam semalam mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.
Mangsa dikenali sebagai Nurfisya Zilkifly, 19, pelajar Kolej Poly-Tech MARA berasal dari Perak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi tempat penemuannya.
Menurutnya, hasil pemerhatian awal di lokasi mendapati, mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘SYAA’, seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.


