BDR diperluas kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) – JPM

DASAR bekerja dari rumah (BDR) yang mula berkuat kuasa hari ini disifatkan sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh kecekapan perkhidmatan awam dan menyokong kelestarian sumber negara.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan ini membabitkan kementerian, agensi kerajaan dan badan berkanun selain pengaturan waktu kerja fleksibel itu turut diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan kerajaan (GLC/GLIC).

“Inisiatif ini bukan saja mencerminkan kecekapan tadbir urus, malah berperanan penting dalam pengurangan penggunaan bahan api, seterusnya memastikan kestabilan dan keupayaan bekalan tenaga serta mengurangkan perbelanjaan melalui langkah penjimatan berhemah.

“Dengan memanfaatkan teknologi digital dan pengurusan masa yang efisien, warga kerja digesa untuk terus mengekalkan tahap produktiviti, integriti dan profesionalisme yang tinggi dalam pelaksanaan dasar ini.

“Sementara itu, orang ramai disaran untuk terus mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi kerajaan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar semalam memaklumkan,  pelaksanaan arahan BDR yang bermula hari ini dijangka membabitkan lebih 200,000 penjawat awam.

Menurut beliau, kelulusan untuk pelaksanaan BDR bagaimanapun bergantung kepada ketua jabatan masing-masing, berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.

Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu bagi penjawat awam itu bagi memastikan penggunaan bahan api lebih cekap, selain mengurangkan kos operasi kerajaan sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global.

Bagaimanapun, dasar itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img