LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) menyita kira-kira empat tan sarung tangan getah haram bersama sebuah alat penimbang dalam serbuan di sebuah premis di Puchong, semalam.
Dalam kenyataan, LGM memaklumkan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM20,000 melibatkan sarung tangan getah yang disimpan di dalam guni.
Menurutnya, premis terbabit disyaki aktif menjalankan kegiatan membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak serta sarung tangan sekerap tanpa permit sah.
“Serbuan dijalankan menerusi operasi bersepadu Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),” menurut kenyataan itu.
LGM menjelaskan, aktiviti berkenaan merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, khususnya Peraturan 22(1)(b).
“Tiada individu dibenarkan membeli, menyimpan atau menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sekerap tanpa memegang Permit PST-G,” katanya.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
LGM turut menegaskan pihaknya akan terus mempergiat kawal selia industri sarung tangan getah termasuk aspek kualiti, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeksport utama sarung tangan getah dunia.
Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan pelesenan dan penguatkuasaan melalui saluran rasmi yang disediakan oleh LGM.


