JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga asing yang dipercayai mampu meraih keuntungan mencecah RM100 juta selepas tujuh tahun beroperasi menerusi Ops Serkap di ibu negara, bermula kelmarin.
Dalam serbuan itu, sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun telah ditahan terdiri daripada tiga lelaki warganegara Nepal, tiga lelaki India, seorang lelaki Bangladesh, seorang lelaki tempatan serta seorang wanita Vietnam yang dipercayai bertindak sebagai pengarah syarikat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu melibatkan serbuan di enam lokasi sekitar Kuala Lumpur berdasarkan hasil risikan berterusan selama enam bulan.
“Dalam serbuan di enam lokasi itu, pasukan penguat kuasa berjaya menemukan dokumen imigresen (e-pass dan pelekat keselamatan) yang telah diubah suai untuk digunakan oleh syarikat tersebut bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Turut dirampas adalah 111 keping pasport pelbagai negara, 10 unit komputer riba, enam unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM3,950,” katanya dalam sidang media kejayaan Ops Serkap di ibu pejabat JIM di Putrajaya hari ini.
Zakaria memberitahu, enam saman kepada saksi (Borang 29) turut dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan intipan yang dilakukan, satu pasukan khas diatur gerak semalam ke lokasi yang dipercayai menjadi tempat tinggal suspek utama di Jalan Galloway, Kuala Lumpur.
“Pasukan operasi berjaya memintas sebuah kenderaan jenis Nissan Sentra yang dinaiki oleh suspek utama yang disyaki cuba melarikan diri, dan suspek berjaya ditahan.
“Suspek utama yang ditahan seorang lelaki warganegara Nepal berusia 43 tahun. Siasatan mendapati suspek pernah ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism (E8) Bukit Aman pada tahun 2016,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket ini beroperasi sejak tahun 2019 hingga 2026, iaitu kira-kira tujuh tahun.
“Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih diteruskan bagi mengenal pasti struktur syarikat serta anggaran keuntungan yang diperoleh yang dianggarkan mencecah sekitar RM100 juta dalam tempoh tujuh tahun.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Pasport 1966 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), serta lain-lain undang-undang yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melengkapkan siasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat.
“JIM ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang bentuk pelanggaran undang-undang, khususnya yang melibatkan pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan kemudahan imigresen.
“Orang awam juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan ini,” katanya.


