POLIS menahan lima lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang tular di media sosial di kawasan Bekenu, Miri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semua suspek diberkas hasil risikan serta maklumat awam.
Menurutnya, polis merampas beberapa senjata dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan.
“Kesemua suspek kini direman sehingga 19 April bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Mohd Farhan menegaskan pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam perbuatan ganas atau membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengawal emosi serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kekecohan.
“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Anuar Affindi di talian 019-7319540 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.


