KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak Universiti Malaya (UM) berhubung isu adegan teater yang didakwa tidak senonoh seperti yang tular dalam media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu tersebut namun belum menerima laporan penuh.
“Saya ada nampak perkara itu di media sosial. Saya akan dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada pihak Universiti Malaya,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Majlis Pelancaran Perpustakaan Universiti Cyberjaya, hari ini.
Semalam, tular sebuah persembahan teater yang didakwa memaparkan adegan tidak senonoh ketika persembahan.
Susulan itu, UM hari ini mengeluarkan kenyataan permohonan maaf dan memaklumkan adegan berkenaan tidak mengikut skrip asal yang ditetapkan.
UM juga berkata, pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan mengambil maklum mengenai segala kebimbangan yang dibangkitkan.


