Inspektor polis langgar anggota trafik didakwa lapan pertuduhan

SEORANG pegawai polis berpangkat inspektor didakwa atas lapan pertuduhan termasuk cubaan membunuh seorang anggota polis trafik dan memandu secara melulu ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Muhammad Kamal Raj Shanmugam Abdullah, 40, yang sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Sultan Yahya Petra, Kuala Lumpur pada jam 10.47 malam, 10 April lalu.

“Saya sakit ‘sihir’, saya tak ingat la,” kata Muhammad Kamal Raj Shanmugam ketika menghadapi pertuduhan. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh yang menghidap skizofrenia dan masih bujang itu.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa cuba membunuh dengan cara melanggar menggunakan kereta Perodua Axia ke atas seorang anggota polis yang sedang bertugas mengawal lalu lintas ketika kejadian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, atau sehingga 20 tahun jika menyebabkan kecederaan.

Hakim Mazuliana Abdul Rashid kemudian mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama 30 hari untuk pemeriksaan mental di bawah Seksyen 342 Kanun Tata Cara Jenayah.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, G Nanda Goban memaklumkan anak guamnya itu menghidap skizofrenia sejak tiga tahun lalu.

Menurut peguam itu, keadaan tertuduh sebelum ini terkawal, namun insiden berkenaan dipercayai berlaku selepas tertuduh tidak meneruskan rawatan.

Pihak Pendakwa Raya diwakili J Banusha memohon agar tiada jaminan dikenakan ke atas tertuduh memandangkan kecederaan dihadapi mangsa adalah serius.

Sementara itu di Mahkamah Majistret, Muhammad Kamal Raj Shanmugam berdepan tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan pemanduan melulu dan berbahaya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan turut direkodkan memandangkan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental.

Majistret Syazwani Yasmyn Tuan Roslan juga mengarahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta selama 30 hari untuk pemeriksaan mental.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap pegawai polis itu dan sebutan semula ditetapkan pada 14 Mei dan 9 Jun depan.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img