MALAYSIA dan Australia komited memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga susulan krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan beliau bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese hari ini memberi tumpuan kepada isu gangguan bekalan serta peningkatan kos tenaga.
Menurut beliau, pada ketika ini kedua-dua negara bersetuju untuk mengutamakan keperluan domestik sebelum mempertimbangkan pertukaran sumber secara timbal balik.
“Saya ada membincangkan perkara ini, dan sudah tentu Australia juga merupakan pengeluar beberapa produk, maka pertukaran ini adalah bermanfaat.
“Ini adalah waktu yang mencabar dan sukar, namun sebagai rakan dan melalui hubungan dua hala yang erat, kita memberi keutamaan untuk meneliti perkara ini secara terperinci,” katanya dalam sidang media bersama di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, terdapat perbincangan lanjut yang melibatkan Petroleum Nasional Berhad (Petronas) bagi memperincikan kerjasama tenaga antara kedua-dua negara.
“Kami juga telah bertemu dengan barisan kepimpinan tertinggi Petronas, dan mereka akan meneruskan perbincangan secara terperinci.
“Saya berpendapat apa yang perlu kita lakukan, sudah semestinya, adalah untuk meneliti keperluan domestik kita terlebih dahulu dan juga keperluan tenaga domestik Australia, serta melihat di mana kita boleh saling membantu berasaskan prinsip quid pro quo.
“Terdapat isu dan bidang tertentu yang kita perlukan daripada Australia, dan begitu juga perkara yang mereka perlukan daripada kita. Jadi, saya percaya perkara ini pastinya akan membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” tambahnya.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin negara menyatakan kebimbangan mendalam terhadap konflik di Asia Barat yang semakin memuncak serta implikasinya terhadap rantau ini, termasuk kesan kepada rantaian bekalan tenaga, harga serta aliran bekalan penting seperti minyak dan gas asli.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Malaysia dan Australia mengiktiraf sifat saling melengkapi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi, khususnya peranan kedua-dua negara dalam menyokong keselamatan tenaga antara satu sama lain.
Malah, kedua-dua negara turut berfungsi sebagai pembekal tenaga kepada satu sama lain, sekali gus memperkukuh hubungan keselamatan tenaga yang saling bergantung.


