JSJN Bukit Aman rampas pelbagai jenis dadah termasuk dadah zombi bernilai RM31.57 juta

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa membabitkan rampasan dadah bernilai RM31.57 juta dalam dua serbuan di Puchong, Selangor dan Cheras pada 9 April lalu.

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu adalah dadah jenis Fentanyl atau lebih dikenali sebagai ‘dadah zombi’, yang kini mula dikesan dalam pasaran gelap tempatan.

Pengarah JSJN Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam operasi Op Hemiptera itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Audi dan sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras, polis menemukan pelbagai jenis dadah berbahaya.

“Antara dadah tersebut adalah methamphetamine sebanyak 616.12 kilogram (kg), pil Erimin 5 seberat 6.4 kg dan cecair Fentanyl sebanyak 0.8 liter (400 katrij vape).

“Nilai rampasan bagi operasi ini dianggarkan berjumlah RM31.57 juta, dan kesemua dadah yang dirampas mampu merosakkan seramai 3.12 juta pengguna,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Hussein, polis turut menyita tiga kenderaan mewah jenis Toyota Alphard, Mazda dan Honda City serta wang tunai berjumlah RM15,000.

Katanya, siasatan mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi licik di mana pembekal akan meninggalkan kenderaan berisi dadah berserta kunci di lokasi yang ditetapkan.

“Pelanggan kemudian akan mengambil kenderaan berkenaan untuk memindahkan bekalan ke stor simpanan, sebelum memulangkan semula kenderaan ke lokasi asal bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, ” katanya.

Menurut beliau, dua suspek yang ditahan berperanan sebagai ‘transporter’ dan penjaga stor mula bekerja dengan sindiket berkenaan sejak awal tahun lalu.

“Mereka kini direman sehingga 22 April depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, “katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img