Krisis tenaga global: Kerajaan Selangor umum pakej ekonomi lebih RM130 juta

KERAJAAN negeri Selangor hari ini mengumumkan pakej ekonomi bernilai RM130.42 juta susulan kesan ekonomi daripada konflik berterusan di Asia Barat.

Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor diumumkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari itu bertujuan memperkukuh jaminan bekalan makanan negeri, mengurangkan kos sara hidup rakyat dan mengawal tekanan inflasi.

Selain itu, ia bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta menyediakan bantuan bersasar kepada golongan memerlukan.

Menurut Amirudin, bagi menyokong golongan petani dan nelayan, sebanyak RM25 juta akan diperuntukkan untuk menampung kenaikan kos bahan api serta input pertanian.

“Sebanyak 18,000 pesawah padi akan menerima RM500 bagi setiap hektar tanah untuk setiap musim, manakala 2,000 nelayan akan menerima RM300 sebulan selama enam bulan susulan kenaikan kos diesel,” katanya dalam sidang media khas di Shah Alam hari ini.

Amirudin memberitahu, bagi pengusaha akuakultur pula, bantuan sebanyak RM450 sebulan akan disalurkan selama enam bulan bagi membantu mereka menampung kos input pertanian dan mengelakkan kenaikan harga barangan dan sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk tujuan ini bermula Jun.

Kerajaan negeri juga katanya, akan menyalurkan baucar ‘Kita Selangor’ bernilai RM100 setiap bulan selama enam bulan kepada 50,000 rakyat Selangor yang layak.

“Langkah ini bagi memastikan tiada individu terjerumus ke dalam kemiskinan tegar sekiranya mereka terkesan akibat kehilangan pekerjaan atau pendapatan pada tahun ini. Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk inisiatif ini,” katanya.

Bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, seramai 50,000 rakyat Selangor akan menerima RM30 sebulan sehingga hujung tahun, yang boleh digunakan untuk perkhidmatan van atas permintaan, bas atau tren.

Kerajaan negeri turut menambah peruntukan sebanyak RM5.4 juta bagi tujuan ini, menjadikan jumlah keseluruhan RM10.4 juta diperuntukkan untuk inisiatif pengangkutan awam di bawah bajet negeri 2026.

Sebanyak RM5 juta juga diperuntukkan kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menganjurkan jualan Rahmah setiap bulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor, yang dijangka memberi manfaat kepada 168,000 isi rumah.

Amirudin berkata, jumlah itu adalah tambahan RM5 juta kepada RM10 juta yang telah diperuntukkan bagi inisiatif sama tahun ini.

Selain itu, sarapan percuma akan disediakan di semua 873 sekolah kerajaan di negeri ini, dengan pihak berkuasa tempatan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan inisiatif tersebut. Sekolah akan menerima peruntukan bermula Ogos.

Amirudin turut memberitahu, kesan ekonomi akibat perang Asia Barat sudah mula dirasai dan dijangka tidak akan reda dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, walaupun konflik itu berakhir dalam masa terdekat, sektor yang terjejas seperti minyak dan gas, baja, sulfur dan helium dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya setahun untuk pulih sepenuhnya.

“Sebab itu kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, sebaliknya perlu bersedia menghadapi situasi ini untuk jangka panjang,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img