Sekatan di Selat Hormuz berterusan, Iran ancam serang kapal Tentera AS

SEKATAN Amerika Syarikat di Selat Hormuz terus berlanjutan hari ini, ketika Iran meningkatkan amaran keras berhubung gangguan terhadap laluan perkapalan ke pelabuhannya.

Pemimpin Tertinggi Iran Mojtaba Khamenei, memberi amaran bahawa Tehran tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap kapal Amerika sekiranya Washington bertindak “mengawal” laluan strategik tersebut.

Bekas ketua komander Pengawal Revolusi Iran, Mohsen Rezaei, berkata tindakan Amerika Syarikat cuba bertindak sebagai “polis” di Selat Hormuz adalah tidak wajar dan berisiko mencetuskan konflik lebih besar.

“Kapal-kapal Amerika boleh menjadi sasaran peluru berpandu Iran dan berdepan ancaman serius,” katanya dalam kenyataan kepada televisyen negara.

Dalam perkembangan berkaitan, komander Markas Pusat Khatam al-Anbiya, Ali Abdollahi, menegaskan bahawa Iran akan menganggap sekatan berterusan oleh AS sebagai pelanggaran gencatan senjata.

Beliau turut memberi amaran bahawa Iran boleh menyekat semua laluan import dan eksport melalui Teluk Arab, Teluk Oman dan Laut Merah sekiranya sekatan itu tidak ditamatkan.

Sementara itu, CENTCOM memaklumkan perdagangan maritim Iran telah “terhenti sepenuhnya”, namun laporan media Iran menunjukkan beberapa kapal tangki minyak masih berjaya melalui selat tersebut.

Data industri perkapalan menunjukkan sekurang-kurangnya dua kapal pengangkut minyak berskala besar, RHN dan Alicia, telah melintasi kawasan berkenaan tanpa halangan, sekali gus mencetuskan persoalan terhadap keberkesanan sekatan tersebut.

Agensi berita separa rasmi Iran, Fars News Agency, turut mendakwa sekatan berkenaan telah “ditembusi”.

Dalam pada itu, Washington terus meningkatkan tekanan dengan mengenakan sekatan baharu ke atas rangkaian pengangkutan minyak Iran, termasuk yang dikaitkan dengan tokoh perkapalan Mohammad Hossein Shamkhani.

Menurut laporan The Washington Post, Amerika Syarikat juga dijangka menghantar tambahan 10,000 anggota tentera ke Asia Barat menjelang akhir bulan ini.

Bagaimanapun, di sebalik ketegangan yang memuncak, Tehran dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan membenarkan laluan bebas tanpa tol di Selat Hormuz melalui perairan Oman sebagai sebahagian usaha meredakan kebuntuan diplomatik dengan Washington.

Cadangan itu dilihat sebagai langkah awal Iran untuk mengurangkan ketegangan, selepas sebelum ini mencadangkan tindakan lebih agresif termasuk mengenakan caj ke atas kapal yang melalui laluan strategik tersebut.

Perkembangan terbaharu ini mencerminkan situasi yang masih tidak menentu di salah satu laluan perkapalan paling penting dunia, dengan risiko  konflik merebak kekal tinggi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img