KPDN sokong inovasi automotif bergerak, perkukuh ekonomi gig dan perlindungan pengguna

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyokong perkembangan perkhidmatan automotif bergerak sebagai pemangkin kepada inovasi digital dan pertumbuhan ekonomi gig negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, model perniagaan seperti ini bukan sahaja meningkatkan akses perkhidmatan kepada pengguna, malah membuka peluang pendapatan baharu kepada rakyat melalui ekonomi gig dan keusahawanan.

DATUK Dr Fuziah Salleh (kanan) diberi taklimat oleh Syed Ahmad Faiz Syed Yusoff Fadzil (tengah) selepas perasmian PitStop BateriKu ke-250 di Presint 15 Putrajaya hari ini

“Perkhidmatan automotif bergerak ini bukan sekadar inovasi teknologi, tetapi turut menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan fleksibel dan peningkatan pendapatan rakyat.

“KPDN melihat perkembangan ini mencerminkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan on-demand yang pantas, mudah dan berasaskan digital, selari dengan gaya hidup pengguna masa kini, ia selari dengan agenda memperkasa ekonomi gig dan keusahawanan tempatan,” katanya ketika merasmikan PitStop BateriKu ke-250 di Presint 15 Putrajaya hari ini.

Perkhidmatan PitStop Bateriku membolehkan penggantian bateri kenderaan dilakukan terus di lokasi pengguna tanpa perlu ke bengkel, termasuk dalam situasi kecemasan, melalui rangkaian juruteknik bergerak di seluruh negara.

Beliau menambah, model ini menunjukkan potensi besar dalam memperluas liputan perkhidmatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran di peringkat komuniti.

Fuziah bagaimanapun menegaskan, semua penyedia perkhidmatan perlu mematuhi undang-undang termasuk Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 bagi memastikan ketelusan harga, amalan perniagaan beretika serta perlindungan pengguna terus terjamin.

“Aspek ketelusan harga adalah amat penting dan sebarang penetapan harga hendaklah munasabah serta bebas daripada unsur pencatutan selaras dengan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.

“Pengguna juga berhak untuk mengetahui harga, spesifikasi produk dan tempoh jaminan sebelum membuat keputusan mendapatkan perkhidmatan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Bateriku (M) Sdn Bhd, Syed Ahmad Faiz Syed Yusoff Fadzil berkata, pencapaian PitStop ke-250 memperkukuh kedudukan syarikat sebagai rangkaian perkhidmatan bateri terbesar di Malaysia.

“Kami komited memperluaskan liputan perkhidmatan dan meningkatkan keupayaan operasi bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat, di samping memastikan pematuhan kepada piawaian kerajaan serta mengutamakan ketelusan dan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata, Bateriku turut meneroka kerjasama strategik bersama KPDN termasuk cadangan sistem penarafan bengkel, pendigitalan ekosistem industri serta pembangunan tenaga kerja tempatan, sekali gus menyokong agenda kesejahteraan pengguna dan pertumbuhan ekonomi negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img