MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini menerima kembali bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pada mesyuarat yang berlangsung di Melaka itu, mereka menyokong dan mendukung penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti atas apa jua faktor.
Katanya dalam kenyataan malam ini, turut diterima kembali ialah Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat UMNO Bahagian dan Cawangan seluruh negara.
PAda 27 Januari 2923, Hishammudin digantung keahlian selama dua penggal manakala Khairy dipecat daripada parti itu.
Dalam kenyataan beliau, Asyraf Wajdi juga memaklumkan, selaras dengan Fasal 5.2 Perlembagaan UMNO, Majlis Kerja Tertinggi juga telah membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian UMNO dengan membolehkan pendaftaran secara atas talian bagi mempermudahkan kemasukan ahli baharu terutamanya di kalangan anak-anak muda.
Mengenai cabaran kos sara hidup yang dialami oleh rakyat akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global disebabkan kesan peperangan di Iran, kata beliau, Majlis Kerja Tertinggi menyarankan agar negeri-negeri yang diterajui oleh pimpinan UMNO khususnya Johor, Melaka, Perak dan Pahang agar memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan.


