POLIS menahan tiga lagi lelaki bagi membantu siasatan insiden pembakaran mercun di atas jalan raya berhampiran lampu isyarat Taman Nesa, Skudai yang tular dalam media sosial sejak kelmarin.
Penahanan kira-kira jam 4.30 pagi tadi itu menjadikan tujuh individu ditahan setakat ini, dengan enam daripadanya bakal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, tiga lelaki terbaharu yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 23 tahun.
Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Dua daripada tiga suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, namun ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiganya bebas daripada pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan, polis menahan empat lelaki berusia antara 16 hingga 25 tahun kira-kira jam 7.30 malam kelmarin dan direman selama tiga hari sehingga esok.
Azrol Anuar berkata, kertas siasatan sudah dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk tindakan lanjut.
Katanya, empat daripada suspek akan dituduh mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan manakala dua lagi berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Seorang lagi suspek yang ditahan sudah dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.





