Iran tak akan berkompromi, anggap sekatan AS di Selat Hormuz pelanggaran gencatan senjata

SEKRETARIAT Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran menegaskan bahawa negara itu tidak akan berkompromi dalam rundingan penamatan perang yang sedang berlangsung, sambil menyatakan bahawa sebarang percubaan musuh (Amerika Syarikat) untuk mengenakan sekatan maritim akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.

Dalam kenyataan dikeluarkan malam ini, Iran mendakwa rundingan damai dengan Amerika Syarikat yang diadakan di Islamabad melalui pengantaraan Pakistan telah berlangsung selama 21 jam tanpa henti, namun berakhir tanpa sebarang keputusan muktamad selepas pihak lawan mengemukakan tuntutan baharu yang disifatkan sebagai melampau.

Iran menegaskan delegasinya kekal berpegang teguh kepada “pelan 10 perkara” yang dikatakan telah dipersetujui sebagai rangka asas rundingan, dan tidak akan berganjak daripada pendirian negara dalam mempertahankan kepentingan serta kedaulatan Iran.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa cadangan baharu daripada pihak Amerika kini sedang diteliti oleh Tehran, namun belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat.

Iran turut menegaskan bahawa sebarang gencatan senjata di Selat Hormuz hanya akan dipertimbangkan secara bersyarat, khususnya jika semua pihak mematuhi gencatan senjata di semua medan konflik termasuk Lubnan.

Tehran mendakwa pembukaan terhad Selat Hormuz hanya akan dibenarkan untuk kapal dagang di bawah kawalan ketat tentera Iran, manakala kapal tentera serta kapal milik pihak musuh tidak akan dibenarkan melalui laluan tersebut.

Iran juga menegaskan bahawa Selat Hormuz akan terus dipantau ketat kerana ia merupakan laluan strategik utama bekalan ketenteraan Amerika Syarikat di rantau Teluk, yang dianggap sebagai ancaman keselamatan negara.

Dalam kenyataan sama, Iran memberi amaran bahawa sebarang cubaan menyekat laluan kapal atau melaksanakan sekatan laut akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata dan boleh menghalang sebarang pembukaan semula laluan tersebut.

Sekretariat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi turut menyeru rakyat Iran agar terus bersatu dan kekal berwaspada, selain menegaskan kepentingan perpaduan nasional serta sokongan berterusan terhadap kerajaan dan angkatan bersenjata dalam menghadapi situasi semasa.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img