MCMC uji kelajuan dan kualiti liputan 4G, 5G sepanjang laluan ETS KL Sentral – Segamat

MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyertai sesi ujian kelajuan dan kualiti liputan selular di sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor.

Ujian ini dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (syarikat telekomunikasi) melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications dan Digital Nasional Berhad.

DATUK Fahmi Fadzil (dua dari kiri) menyertai sesi ujian kelajuan dan kualiti liputan selular di sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor hari ini

Sesi ujian ini diadakan bagi menilai prestasi liputan serta kelajuan rangkaian 4G dan 5G secara masa nyata real time di sepanjang laluan rel yang merupakan antara koridor pengangkutan utama negara.

MCMC dalam kenyataan berkata, sesi pengujian yang merentasi beberapa buah negeri, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Usaha ini merupakan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan liputan komunikasi yang stabil dan berkualiti tinggi, bukan sahaja di kawasan berpenduduk, tetapi juga di sepanjang laluan pengangkutan awam yang kritikal.

“Pelbagai parameter teknikal telah diukur, termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan data serta kesinambungan liputan tanpa gangguan. Pengujian ini menggunakan peralatan khusus dan aplikasi pemantauan rangkaian bagi memastikan dapatan yang tepat dan komprehensif,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Menurut MCMC, ketika ini, sebanyak 71 peratus kawasan liputan telah dilengkapi dengan perkhidmatan 5G, dan peluasan liputan ini akan diteruskan secara berperingkat.

Walau bagaimanapun menurut MCMC, terdapat beberapa lokasi tertentu yang dikenal pasti mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan muat turun, khususnya di kawasan luar bandar dan jajaran tertentu seperti sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor utara, yang memerlukan tindakan penambahbaikan dan pengoptimuman lanjut oleh pihak penyedia perkhidmatan.

Katanya, hasil dapatan ujian ini akan dianalisis secara terperinci oleh MCMC bagi mengenal pasti jurang liputan serta merangka tindakan susulan yang bersesuaian bersama pihak industri.

Menurut suruhanjaya itu, bagi tempoh antara 1 Januari hingga 15 April lalu, sejumlah 2,350 auditan telah dijalankan dan 280 notis pematuhan telah dikeluarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kepada pemberi perkhidmatan kerana ketidakpatuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan.

“MCMC akan terus memperkukuh pemantauan kualiti perkhidmatan dan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan penyediaan infrastruktur komunikasi yang mampan, berdaya tahan, serta memenuhi keperluan rakyat,” kata kenyataan itu lagi.

Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MCMC NEXUS secara percuma melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery untuk menguji kelajuan Internet serta menyumbang data prestasi rangkaian sebenar di lokasi masing-masing, tanpa melibatkan pengumpulan maklumat peribadi pengguna.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img