MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyantuni serta menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas wartawan Harian Metro, Ahmad Ismail di kediamannya di Segamat, Johor hari ini.
Ahmad, 67, yang pernah berkhidmat sebagai wartawan di Harian Metro selama 25 tahun, bermula 1999 hingga 2024, berdepan masalah kesihatan termasuk kencing manis dan tekanan darah tinggi sejak 2012. Beliau juga menghidap penyakit saraf serta masalah tulang rawan tergelincir (slip disc) sejak 2018.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diperkenalkan pada April 2023 semasa sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Sehingga kini, Tabung Kasih@HAWANA telah memanfaatkan seramai 725 pengamal media di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan terus mendapat perhatian dan terbela.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.


