PGA tahan dua remaja perempuan dipercayai pengintip tekong darat

DUA remaja perempuan yang berperanan sebagai pengintip kepada tekong darat dalam kegiatan menyeludup sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu serbuan di Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat awal pagi semalam.

Kedua-dua remaja berusia 17 dan 18 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.05 pagi ketika menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, penahanan itu dibuat susulan penahanan seorang tekong darat yang membawa sembilan PATI di kawasan sama kira-kira jam 5 pagi.

Menurutnya, remaja terbabit mengaku salah seorang daripada mereka bertindak sebagai pengintip bagi membantu urusan penghantaran PATI dengan menerima upah RM150 daripada tekong darat.

“Seorang lagi remaja memaklumkan dia hanya menemani rakannya ketika aktiviti mengintip dijalankan,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan terhadap telefon bimbit salah seorang remaja itu turut mengesan komunikasi antara mereka dan tekong darat terbabit.

Hasil risikan mendapati, kesemua PATI terdiri daripada enam warga Bangladesh yang memiliki pasport tetapi tidak mempunyai pas lawatan, manakala tiga lagi warga Myanmar tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Katanya, siasatan mendapati kesemua PATI disyaki memasuki negara ini secara haram melalui sempadan Thailand.

“Tekong darat itu turut mengaku menerima arahan daripada individu dikenali sebagai ‘Jef’ yang berada di Thailand dan menerima upah RM100 bagi setiap seorang PATI yang dibawa,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap tekong darat itu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img