JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan sebanyak 11 pekerja warga asing tanpa dokumen sah dalam operasi penguatkuasaan di sebuah premis di Jalan Sungai Rasau, Klang hari ini.
Serbuan bermula pukul 3 petang itu dijalankan susulan risikan dan aduan yang diterima jabatan itu sebelum ini.
Menurut jurucakap JIM Selangor, dalam serbuan di lokasi pertama iaitu sebuah kilang di kawasan perindustrian Sungai Rasau, sebanyak tujuh warga asing ditahan hasil pemeriksaan ke atas 48 individu.
Katanya, bagi pemeriksaan kedua di lokasi berhampiran, sebuah premis yang dipercayai menggajikan pekerja asing menyaksikan empat individu diperiksa dengan kesemuanya ditahan.
“Kesemua 11 individu yang ditahan terdiri daripada enam warga Myanmar, empat Bangladesh dan seorang India,” katanya selepas operasi itu hari ini.
Menurut jurucakap itu, kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Dalam serbuan itu, semua individu yang diperiksa turut memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi melancarkan proses dokumentasi dan semakan permit kerja.


