POLIS menahan seorang lelaki yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya selepas kira-kira 30 kilometer dikejar polis dari Limbongan ke Durian Tunggal, di Alor Gajah awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, suspek berusia 25 tahun yang tidak memiliki lesen memandu dikatakan memecut kenderaan jenis Toyota Avanza yang turut dinaiki dua penumpang wanita dalam keadaan berbahaya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota peronda mula mengejar kenderaan suspek yang tidak berhenti di sekatan jalan raya dekat Jalan Limbongan.
“Suspek memecut bagi meloloskan diri sambil dikejar kenderaan polis, sebelum sebelum berjaya ditahan di Taman Belimbing Setia di Durian Tunggal.
“Pemeriksaan dalam kenderaan mendapati dua wanita berusia 19 dan 21 tahun berada bersama suspek lelaki terbabit, dengan ujian air kencing mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, siasatan mendapati suspek melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu, selain disebabkan di bawah pengaruh dadah.
“Suspek yang memandu Toyota Avanza kini direman empat hari bermula hari ini, manakala dua wanita dalam kenderaan terbabit direman dua hari,” katanya.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dengan Toyota Avanza turut dirampas bagi membantu siasatan, tambah beliau.


