Polis buru tiga suspek pecah rumah, curi kabel lari dalam semak

TIGA lelaki dipercayai terbabit kegiatan pecah rumah dan mencuri kabel kini diburu polis selepas melarikan diri ke dalam semak ketika kenderaan mereka dikejar polis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah mengejar sebuah kereta jenis Polo berwarna putih di persimpangan lampu isyarat Kelemak yang dilihat mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, anggota unit kereta peronda (MPV) sudah mengarahkan kenderaan itu berhenti, namun pemandunya enggan memberi kerjasama sebelum memecut kenderaan mereka.

“Pasukan MPV kemudian mengejar kenderaan itu hingga ke Kampung Pegoh sebelum tiga lelaki bertindak keluar dari kereta dan menyelinap ke kawasan semak berhampiran.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel,” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai tiga lelaki yang berpakaian serba hitam, dengan seorang daripadanya memakai topi merah.

“Setakat ini, kita sedang menjalankan Ops Tutup membabitkan semua balai dan kawasan berhampiran bagi mengesan suspek, namun mereka masih belum ditahan,” katanya.

Ahmad berkata, polis sudah mengenal pasti pemilik kereta terbabit dan akan mengambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung keberadaan kenderaan itu semasa kejadian.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Alor Gajah di talian 06-556 4153 bagi membantu siasatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img