Sebuah lagi kapal Malaysia dari Selat Hormuz dijangka tiba hujung minggu ini – Fahmi

SEBUAH lagi kapal Malaysia membawa bahan api yang berjaya melalui Selat Hormuz dijangka tiba selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ketibaan kapal itu menyusuli kapal pertama yang tiba 17 April lalu dengan membawa sejuta tong minyak mentah, dijangka mampu memperkukuhkan jaminan bekalan minyak mentah negara.

“Ini akan menjamin stok bekalan minyak mentah yang akan diproses di beberapa fasiliti refinery (loji penapisan) di dalam negara kita yang memungkinkan bekalan terutama bagi Petronas lengkap sehingga hujung bulan Jun,” katanya.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan Diesel di dua stesen minyak di Pagoh hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Fahmi dalam pada itu berkata, beliau mengambil maklum permohonan beberapa pihak yang mahu kuota subsidi BUDI95 dikembalikan dan mengulangi jaminan kerajaan bahawa pelarasan kuota kepada 200 liter sebulan itu hanya bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah minyak negara stabil.

Perkara berkaitan bekalan bahan api negara juga dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok, katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, bekalan minyak di 639 stesen minyak di seluruh Johor berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gangguan atau kehabisan stok setakat ini.

Mengulas lawatan kerja dua hari ke Johor, Fahmi berkata beliau menyaksikan beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi menambah baik liputan internet di sepanjang 1,700 kilometer jajaran landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Selain itu, beliau turut melancarkan Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir di Pagoh dalam usaha memperkasakan belia menghadapi ancaman dunia digital.

Fahmi turut berkesempatan menyerahkan watikah pelantikan kepada 150 Ketua Komuniti MADANI bagi memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img