KERAJAAN hari ini mengumumkan tiga langkah segera bagi meringankan tekanan kos dan memastikan kelangsungan perniagaan terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi menghadapi cabaran krisis tenaga global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah segera itu dicapai hasil pertemuan beliau dengan PMKS Bumiputera pada minggu lalu dan diperluas kepada komuniti Cina dan India hari ini.
Beliau yang juiga Menteri Kewangan berkata, tiada segmen ekonomi dipinggirkan dan setiap suara didengar serta dibantu secara bersasar.
“Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan,” menurut Anwar menerusi kenyataan Kementerian Kewangan hari ini.
Susulan itu, Perdana Menteri mengumumkan, peruntukan jaminan sebanyak RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyokong PMKS yang terjejas, terutama dalam sektor pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan, serta pelancongan.
Menurut Perdana Menteri, jaminan bagi sektor yang terkesan ini ditambah baik berbanding skim SJPP biasa melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus (biasa 70 peratus) dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun pada kebiasaannya.
“SJPP juga akan bekerjasama dengan pihak bank untuk memudahcara penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman SJPP serta bantuan bayaran balik secara bersasar,” katanya.
Setakat ini, skim SJPP terus menjadi antara instrumen utama kerajaan dalam menyokong kelangsungan PMKS, dengan lebih 50,000 PMKS telah dibantu melalui jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Selain itu, kerajaan turut mengumumkan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Ia termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan dan tanpa penalti dalam tempoh berkenaan.
Langkah seterusnya bagi meringankan beban PMKS yang terjejas adalah dengan memberikan pertimbangan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport susulan gangguan konflik, sehingga 31 Disember 2026.
“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” jelas Perdana Menteri lagi.
Anwar juga menegaskan bahawa dalam menghadapi tekanan global yang berpanjangan, Kerajaan akan terus bertindak proaktif bagi memastikan ekosistem perniagaan kekal berdaya tahan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Kerajaan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan para usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.
“Ini bukan situasi sementara dan semua pihak perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” katanya lagi.


