SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup menjadi ‘tekong darat’ dengan menggunakan kenderaan pikap milik abangnya untuk membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pangkalan haram di Sungai Golok ke Kota Bharu, sebelum ditahan pihak berkuasa awal pagi tadi.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pihaknya menahan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang mengelak pemeriksaan di tepi jalan.
“Dua lelaki melarikan diri, namun lima lelaki warga India dan Sri Lanka ditemui bersembunyi di tempat duduk belakang kenderaan.
“Serbuan susulan dijalankan di sebuah rumah di Kampung Bunohan dan seorang remaja lelaki dipercayai tekong darat berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, suspek mengaku menyediakan pengangkutan kepada PATI dengan bayaran RM100 bagi setiap individu.
Katanya, kesemua warga asing itu dipercayai memasuki Malaysia menggunakan perahu dari Thailand sebelum menyeberangi Sungai Golok.
“Mereka mendakwa membayar ejen di India kira-kira RM3,000 seorang sebagai kos perjalanan serta jaminan untuk masuk ke Thailand dan Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, suspek turut memaklumkan bahawa dia ditawarkan pekerjaan oleh seorang lelaki tempatan untuk mengambil PATI di pangkalan haram sebelum menghantar mereka ke stesen bas di Kota Bharu.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 55(e) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


