BANK Pusat Brunei Darussalam (BDCB) hari ini mengumumkan pengeluaran siri baharu wang kertas, yang dijadualkan mula diedarkan pada separuh pertama tahun 2026,
Siri baharu ini akan merangkumi lima denominasi – BND1, BND5, BND10, BND100, dan BND500 dan merupakan pencapaian penting dalam pembangunan mata wang negara itu.
Dalam kenyataan BDCB yang disiarkan oleh Borneo Bulletin, bank itu menyatakan bahawa wang kertas baharu tersebut akan menampilkan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan, selaras dengan kemajuan global dalam industri mata wang, bagi melindungi integriti mata wang Brunei dan memperkukuh perlindungan terhadap pemalsuan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen BDCB untuk memastikan mata wang negara kekal selamat dan terjamin, terutamanya ketika tunai masih memainkan peranan penting dalam kehidupan harian, walaupun negara sedang menuju ke arah ekonomi digital,” kata bank pusat itu.
Sambil memperkenalkan elemen baharu, reka bentuk wang kertas akan mengekalkan ciri-ciri biasa dikenali yang menonjolkan identiti dan warisan kebangsaan Brunei.
Gambar Sultan Hassanal Bolkiah akan terus dipaparkan pada wang kertas BND1, BND5, BND10 dan BND100, manakala wang kertas BND500 akan memaparkan potret Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.