Sasar jualan lima tan mangga Harumanis sepanjang program di ibu negara

LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan kira-kira lima tan mangga Harumanis bernilai sekitar RM150,000 sepanjang Program Jualan dan Promosi Harumanis di Busana @ Menara MARA Kuala Lumpur yang berlangsung dari 20 hingga 24 April ini.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, setakat ini jualan mangga Harumanis telah mencapai kira-kira 40 peratus daripada sasaran, mencerminkan sambutan positif pengguna terhadap buah premium tempatan itu.

Menurutnya, penganjuran kali keempat di Kuala Lumpur itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna bahawa musim mangga Harumanis telah bermula, dengan tempoh pengeluaran yang biasanya terhad antara April hingga Mei dan kadangkala berlanjutan sehingga Jun.

“Harumanis terbaik datang dari Perlis dan utara Kedah. Tempat lain mungkin ada, tetapi dari segi rasa dan kemanisan, kawasan ini masih menjadi pengeluar utama,” katanya pada sidang media sempena pelancaran program itu.

Program turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Amanah Rakyat Incorporated (MARA Inc) Sdn Bhd, Faizul Idzhar Ahmad Yazi serta Pengarah MARA Wilayah Persekutuan, Syed Saifuddin Syed Ahmad.

Musim pengeluaran tahun ini dijangka sedikit meningkat berbanding tahun lalu dan berpotensi berlanjutan sehingga akhir Jun berikutan tempoh cuaca panas yang lebih panjang.

Abdul Rashid dalam pada itu berkata, bekalan mangga Harumanis setakat ini stabil dan terkawal, selain tidak menjangkakan berlaku lambakan berikutan kawasan pengeluaran yang terhad serta musim yang singkat.

Beliau berkata, FAMA turut memperluaskan saluran jualan melalui platform dalam talian e-Guro Bazaar yang melibatkan kira-kira 10 penjual dengan jaminan penghantaran dalam tempoh tiga hari bagi memastikan kualiti buah kekal segar.

“Harga pasaran bagi mangga Harumanis ketika ini dianggarkan antara RM90 hingga RM120 bagi kotak tiga kilogram, bergantung kepada tahap kemanisan dan kualiti buah,” katanya.

Selain pasaran tempatan, Abdul Rashid berkata, permintaan luar negara juga diterima termasuk dari Brunei, selain penghantaran ke Sabah dan Sarawak yang dilakukan dalam pek tiga kilogram.

Beliau turut menegaskan FAMA memperketat penguatkuasaan Peraturan 3P melibatkan penggredan, pelabelan dan pembungkusan bagi memastikan pengguna mendapat mangga Harumanis asli serta mengelakkan kekeliruan atau penipuan dalam pasaran.

“Pengguna digalakkan membuat aduan sekiranya terdapat label mengelirukan atau penipuan, dan FAMA akan bekerjasama dengan kementerian serta agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Program dengan kerjasama MARA Inc yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 9 malam itu merupakan inisiatif strategik FAMA bagi memaksimumkan potensi pasaran mangga Harumanis, khususnya di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Sepanjang lima hari penganjuran, program itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung.

Inisiatif itu juga selaras dengan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan yang bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan sihat, selain menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan tani tempatan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img