Berhati-hati pesan harumanis secara dalam talian: Penjawat awam kerugian RM38,090

SEORANG penjawat awam kerugian RM38,090 apabila wang simpanan dalam akaunnya lesap selepas mengisi butiran peribadi untuk membeli mangga harumanis melalui pautan dalam talian yang diberikan.

Mangsa yang berusia 54 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu kira-kira jam 11 malam tadi berikutan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa berada di pejabatnya di Kuala Terengganu terlihat iklan jualan buah mangga harumanis dalam laman Facebook sebelum menghubungi nombor tertera di pautan itu.

“Mangsa kemudian menekan pautan yang diberikan dan mengisi butir-butir maklumat perbankan termasuk nombor akaun bank, kata kunci dan nombor kad bank di belakang kad.

“Selepas mengisi butiran peribadi itu, mangsa kemudian mendapati terdapat pemotongan wang dari akaun banknya sebanyak tujuh kali. Wang berkenaan dimasukkan ke dalam tiga akaun bank berbeza hingga mangsa kerugian sebanyak RM38,090,” katanya.

Azli berkata, mangsa yang menyedari dirinya tertipu dengan sindiket penipuan pembelian mangga harumanis itu kemudian membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, sehingga hari ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu merekod empat kes membabitkan penipuan pembelian mangga harumanis dalam talian dengan nilai kerugian keseluruhan kira-kira RM70,000.

“Sindiket menggunakan modus operandi iaitu melalui kaedah menekan pautan (link) sebelum menjerat mangsanya,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img