CUBAAN membawa masuk produk pertanian tanpa dokumen sah melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya digagalkan awal pagi tadi.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) KLIA, Ibrahim Mohd Yusof, berkata, tindakan itu hasil operasi bersama Malaysia Border Guard (MBG) di Terminal 1 KLIA kira-kira jam 1 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas dua bagasi milik seorang penumpang warga asing dari China, pihak berkuasa menemui pelbagai produk pertanian yang tidak mematuhi syarat pengimportan.
“Antara barangan dirampas termasuk daging itik sejuk beku, ayam bulat dan daging babi tanpa Permit Import MAQIS serta Sijil Kesihatan Veterinar dari negara pengeksport,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,600 dan kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Tambah beliau, Kejayaan ini membuktikan keberkesanan penglibatan Malaysia Border Guard (MBG) dalam memperkukuh keupayaan operasi AKPS, khususnya dalam aspek
pemeriksaan, risikan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara.
“Sinergi antara pegawai AKPS dan anggota MBG telah meningkatkan kecekapan tindakan serta keberkesanan pengesanan terhadap cubaan pelanggaran undang-undang.
“AKPS akan terus memperkasa kerjasama strategik bersama MBG bagi memastikan
kawalan sempadan negara sentiasa berada pada tahap optimum serta keselamatan
biosekuriti negara terus terpelihara,” ujarnya.


