SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM4 juta dipercayai milik seorang pendakwah bebas, susulan siasatan berkaitan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) miliknya.
Menurut sumber, sitaan yang dilakukan hari ini melibatkan pelbagai mata wang asing dan tempatan termasuk wang tunai berjumlah Riyal 7,325, RM152,155 serta SGD27,134 (dolar Singapura).
“SPRM Negeri Sembilan hari ini telah melakukan sitaan terbaharu dan selain ada pertambahan sitaan untuk duit mata wang asing dan tempatan, kami turut menyita pelbagai perhiasan emas bernilai kira-kira RM2 juta.
“Sehubungan itu, nilai sitaan terbaharu semalam dan hari ini berjumlah kira-kira RM4 juta,” kata sumber itu.
Menurut sumber itu, siasatan awal mendapati dua ahli jawatankuasa yang disyaki bersubahat dengan pendakwah bebas itu ialah isterinya yang juga bendahari NGO berkenaan serta seorang lagi individu yang merupakan setiausaha.
Kata sumber itu lagi, siasatan turut mendapati dana yang dipindahkan ke akaun bank milik pendakwah bebas berkenaan serta lapan akaun bank syarikat miliknya dilakukan tanpa pengetahuan ahli jawatankuasa lain.
Semalam, SPRM Negeri Sembilan menahan reman pendakwah bebas terbabit selama lima hari kerana disyaki menyalah guna kuasa dan menyeleweng dana NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, lapan syarikat yang terlibat merupakan syarikat percetakan, penerbitan, jualan buku, pemasaran, penjualan produk, pengurusan sumber manusia dan pengurusan duta produk.


