BEKAS Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sabudin Mohd Salleh, 64, diperintah menjalani hukuman penjara empat tahun selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadapnya bagi kesalahan menerima rasuah RM200,000 berkaitan pengeluaran permit kerja untuk subkontraktor.
Beliau ditahan selepas panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman tersebut.
Panel itu, yang dipengerusikan oleh Hakim Noorin Badaruddin serta dianggotai Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid, turut mengekalkan denda RM1 juta yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan tempoh penjara sekiranya gagal membayar denda daripada empat tahun kepada dua tahun selepas pihak pendakwaan bersetuju.
Noorin memerintahkan waran komital dikeluarkan untuk Sabudin memulakan hukuman penjara serta-merta. Beliau sebelum ini dibebaskan dengan jaminan dan diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu keputusan rayuan.
Menyampaikan keputusan mahkamah, Noorin berkata pendakwaan telah mengemukakan bukti berhubung pembayaran rasuah yang dibuat kepada perayu berkaitan dengan pelaksanaan tugas rasminya.
Beliau berkata pendakwaan telah berjaya membuktikan tanpa keraguan yang munasabah bahawa berlaku pertemuan antara pengadu dengan perayu, dan perayu menjangkakan kehadiran pengadu di kediamannya.
Hakim itu berkata wang sebanyak RM200,000 telah diterima oleh Sabudin, dan pembayaran itu dibuat sebagai dorongan berhubung kerja kontrak yang kemudiannya diberikan.
“Kami bersetuju bahawa bukti sedemikian jelas menunjukkan kesalahan tertuduh dan secara berkesan menafikan kesimpulan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sesyen,” katanya.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah menilai semula semua bukti, dan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa tiada sebarang kesilapan dalam proses itu.
Sebaliknya, Noorin berkata hakim Mahkamah Sesyen ketika membebaskan Sabudin gagal menilai keseluruhan bukti dengan sewajarnya dan telah terkhilaf dalam mengaplikasikan prinsip undang-undang yang terpakai.
Beliau berkata perayu telah gagal mewujudkan sebarang kaitan munasabah antara dirinya, pengadu dan ‘kartel’ yang didakwa wujud dalam DBKL.
Sebaliknya, Noorin berkata keterangan pengadu, selaku pemberi suapan, adalah konsisten dan boleh dipercayai serta disokong oleh keadaan sekeliling.
Beliau berkata bukti menunjukkan bahawa pengadu mengenali tertuduh, seperti yang dibuktikan melalui kehadirannya ke majlis perkahwinan anak lelaki tertuduh, iaitu fakta penting yang tidak pernah dicabar sepanjang perbicaraan.
Sabudin didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM200,000 daripada Wong May Kuan, subkontraktor bagi Dusari Niaga, ketika beliau menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengarah kanan di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL.
Dusari Niaga menjalankan kerja-kerja penurapan semula jalan di Kuala Lumpur dari 2018 hingga 2020, dan rasuah itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit kerja kepada syarikat berkenaan.
Kesalahan pertama didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka sebuah stesen minyak di MRR2, Bukit Antarabangsa, Ampang pada 9 Jun 2018 manakala pertuduhan kedua di rumah Sabudin di Ampang pada 17 Jan 2019.
Sebelum ini, Sabudin dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di akhir kes pendakwaan pada 18 Dis 2020 tanpa dipanggil membela diri.
Pada 24 Mac 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan beliau membela diri di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang sama.
Pada 15 Sept tahun yang sama, Sabudin sekali lagi dibebaskan pada akhir kes pembelaan.
Pada 26 Julai 2023, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan itu dan mensabitkan beliau bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak serta mengenakan denda RM1 juta atau penjara empat tahun, jika gagal membayar denda.
Pada prosiding hari ini, Sabudin diwakili pasukan peguam yang diketuai oleh Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.


