SPRM berperanan kembalikan wang dicuri daripada rakyat kepada rakyat – Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan peranannya terhad kepada usaha merampas dan dan menyita hasil rasuah, bukan menentukan bagaimana kerajaan membelanjakan hasil rampasan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sebaik sahaja wang dirampas dan dilucut hak kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF), tugas SPRM dianggap selesai.

“Ringkasnya, tugas kami adalah merampas dan melucut hak wang itu kepada kerajaan di bawah MOF.

“Bukan tanggungjawab kami untuk memastikan ke mana wang itu dibelanjakan. Itu adalah tugas MOF,” katanya pada sidang media majlis menandatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu negara hari ini, lapor BH.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berhubung pemulihan RM8.5 bilion hasil haram oleh SPRM hanya akan memberi makna sekiranya wang itu digunakan secara telus, memberikan manfaat nyata kepada rakyat serta disusuli dengan hukuman tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Beliau dilaporkan berkata, dana berkenaan, yang disifatkannya sebagai ‘wang awam yang pernah dicuri’, tidak seharusnya sekadar diserap ke dalam perbelanjaan rutin kerajaan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, kerajaan dan MOF mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan pengurusan serta penggunaan dana berkenaan.

“Bagi saya, MOF atau kerajaan tahu bagaimana untuk menguruskannya,” katanya.

Azam menegaskan, keutamaan SPRM adalah memastikan wang yang dicuri daripada rakyat dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui proses perundangan yang sah.

“Yang penting bagi kami adalah mengembalikan wang yang dicuri daripada rakyat kembali kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan mengenai perbelanjaan wang hasil rampasan sepenuhnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan.

“Bagaimana wang itu dibelanjakan oleh kerajaan adalah keputusan kerajaan,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img