Wanita Australia jatuh gaung : Lokasi berjaya dikenal pasti

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) hari ini berjaya mengenal pasti lokasi seorang wanita warga Australia yang dipercayai terjatuh ke dalam gaung di Gunung Santubong, semalam.

Mangsa, Belinda Lapier, dilaporkan berada dalam kesukaran selepas dipercayai tersasar dari laluan pendakian asal sebelum terjatuh di kawasan F7 gunung berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pasukan operasi berjaya berkomunikasi dengan mangsa dengan memanggil namanya kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

“Bagaimanapun, terdapat halangan di laluan untuk menuju ke lokasi mangsa di dalam gaung.

“Kecerunan gaung dianggarkan 90 darjah selain terdapat banyak batu serta pokok besar yang menyukarkan operasi menyelamat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, JBPM menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 malam semalam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi, kira-kira 22 kilometer dari balai.

Katanya, setibanya di kaki gunung pada jam 9.43 malam, renjer hutan memaklumkan mangsa dipercayai terjatuh ketika menuruni gunung.

“Pada jam 5 petang semalam, mangsa berjaya dihubungi dan suaranya dapat didengar, namun kedudukan sebenar gagal dikesan.

“Operasi SAR dijalankan di sekitar kawasan F7 dengan kerjasama polis dan renjer hutan, namun pencarian awal sehingga jam 12.15 tengah malam gagal menemukan mangsa sebelum operasi dialih ke kawasan kebun berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, pada jam 12.48 tengah malam, mangsa berjaya dihubungi semula dan memberikan lokasi terkini.

“Seramai lima anggota bomba bersama lima renjer hutan dan seorang anggota polis kemudian bergerak ke lokasi mangsa melalui laluan off-trail selepas dipercayai mangsa tersasar dari trek asal.

“Operasi berdepan cabaran apabila pasukan SAR terpaksa melalui laluan sukar dengan halangan batu besar serta pokok tumbang selain keadaan gelap sebelum ditangguhkan pada jam 3.30 pagi dan disambung semula pada jam 8.30 pagi tadi,” katanya.

Operasi SAR hari ini membabitkan 11 anggota bomba dengan dibantu polis serta renjer hutan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img