PERJALANAN pulang seorang wanita dari tempat kerja bertukar mimpi ngeri apabila dia diserang dan dicabul lelaki tidak dikenali ketika melalui lorong sunyi di sebuah kawasan perumahan di Setia Alam, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu, mangsa yang berusia awal 20-an dikatakan berjalan seorang diri menuju ke rumahnya sebelum didatangi suspek dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.06 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan kaki pulang dari tempat kerja melalui lorong di kawasan perumahan berkenaan ketika kejadian berlaku.
“Secara tiba-tiba mangsa diserang dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali yang memakai baju merah dan seluar hitam.
“Suspek kemudian memeluk serta menutup mulut mangsa sebelum mencium dan meraba wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek melarikan diri sejurus selepas melakukan perbuatan tersebut.
Katanya, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian, namun kejadian itu menyebabkan trauma kepada wanita berkenaan.
Menurutnya, polis kini sedang giat mengesan dan menjejaki suspek bagi membantu siasatan serta memastikan keselamatan penduduk setempat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau sebat jika sabit kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Zamri Abdul Rahman di talian 011-16652402 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.






