DATUK Seri Anwar Ibrahim menyarankan majikan sektor swasta mengamalkan pendekatan lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi susulan tekanan kos yang semakin meningkat, termasuk mempertimbang pelaksanaan aturan kerja fleksibel.
Perdana Menteri menerusi ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah seperti amalan bekerja dari rumah (BDR) yang telah dilaksanakan dalam sektor awam wajar diperluas.
Beliau berkata, pendekatan itu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api, malah berupaya meredakan tekanan kos operasi.
“Dalam menghadapi risiko tekanan kos, majikan juga wajar lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi.
“Hatta, saya menyeru para majikan agar mempertimbang aturan kerja fleksibel seperti yang telah dilaksanakan dalam sektor awam, termasuk melalui amalan Bekerja Dari Rumah (BDR) demi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos, serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja,” katanya.
Fadillah menyampaikan ucapan itu pada Majlis Sambutan Hari Hasil ke-30 Tahun 2026 di Menara Hasil, Cyberjaya hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sektor swasta tidak boleh kekal selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang telah berubah.
“Sebaliknya, inilah masanya untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi serta automasi, dan mencambah nilai tambah serta kemampanan,” ujarnya.
Katanya, kerajaan telah menyediakan kerangka Ekonomi MADANI serta dasar yang jelas untuk mengangkat martabat dan harakat negara.
Sehubungan itu, sektor swasta mesti memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang dibuka oleh ikhtiar reformasi ini.
Perdana Menteri turut menyatakan, dunia kini berdepan dengan ketidaktentuan yang serius angkara konflik yang terus meruncing di Asia Barat yang telah mengancam kestabilan serantau.
“Kesannya kepada negara nyata jikalau krisis ini tidak dileraikan dalam masa terdekat, negara akan terdedah kepada kesan ekonomi yang lebih sistemik, umpamanya kos logistik meningkat, tekanan harga terus memuncak, dan gangguan kepada sektor pembuatan,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan pengurusan hasil serta perbelanjaan negara lebih kritikal daripada sebelumnya.
Justeru, seluruh jentera kerajaan mesti memperkukuh tata kelola, setiap ringgit mesti dibelanjakan dengan berhemah,menutup ruang ketirisan, memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan mesti dipergiat.


