SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah sebuah syarikat telekomunikasi kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada sebuah institusi kewangan pembangunan sebagai dorongan memberi kelulusan pengeluaran pinjaman berjumlah kira-kira RM200 juta.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira jam 10.35 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat bersama beberapa individu lain yang telah dituduh sebelum ini dan melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2012,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dituduh Isnin depan (27 April 2026) di Mahkamah Kuala Lumpur.


