MALAYSIA terus memainkan peranan dalam pembangunan International Anti-Corruption Academy (IACA) menerusi perkongsian kepakaran serta sumbangan kewangan bagi menyokong usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pencegahan dan pembanterasan rasuah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaku wakil negara, turut menyumbang kepakaran dan terlibat secara aktif dalam pembangunan akademi yang berpusat di Vienna, Austria itu sejak penubuhannya pada 2012.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, sehingga 2026, Kerajaan Malaysia telah menyalurkan sumbangan kewangan berjumlah EUR1.602 juta kepada IACA sebagai komitmen berterusan dalam menyokong pembangunan kapasiti serta kerjasama antarabangsa bagi memerangi rasuah.
“Komitmen itu ditegaskan semula dalam Mesyuarat Ke-15 Assembly of Parties (AOP) di Vienna, yang menyaksikan Malaysia menekankan kepentingan sokongan dan kerjasama erat negara anggota bagi memastikan kelangsungan serta pembangunan IACA,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.
Dalam mesyuarat berkenaan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya turut menggariskan beberapa bidang keutamaan yang perlu diberi perhatian IACA bagi menghadapi perkembangan serta cabaran baharu jenayah rasuah dan kewangan.
Antara bidang yang diketengahkan adalah penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI), jenayah kewangan, pengukuhan keupayaan penyiasatan digital, analisis risiko rasuah serta pembangunan kemahiran dan pengetahuan pegawai penguat kuasa antirasuah.
“Perkara itu dilihat penting bagi memastikan keupayaan institusi antirasuah terus diperkasa seiring perubahan landskap jenayah yang semakin kompleks,” kata kenyataan itu.
Yang turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Fenny Nuli; Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim serta Ketua Cawangan Hal Ehwal Antarabangsa, Nik Nurzai Mohd Zainudin.





