KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, beliau belum ada perancangan lagi selepas kontrak perkhidmatan berakhir 12 Mei ini.
Bercakap kepada wartawan di Kuala Pilah, Azam berkata, beliau mahu terus berbakti kepada rakyat.
‘’ “Perancangan selepas ini belum tahu lagi…saya bukan orang politik, saya penjawat awam dan mahu terus berbakti kepada rakyat,” katanya.
Hari ini Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu berkuat kuasa 13 Mei ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata pelantikan berkenaan selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM atau Akta 694.
Azam seterusnya menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas peluang yang diberikan untuk mengetuai agensi itu selama enam tahun.
Beliau berkata kepercayaan diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhanjaya sejak 9 Mac 2020 dan akan berakhir pada 12 Mei ini termasuk tiga kali lanjutan kontrak merupakan satu pengiktirafan besar terhadap dedikasi pasukannya dalam memerangi rasuah.
“Saya menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas kepercayaan ini, serta peluang dalam perkhidmatan melalui lanjutan tiga kali kontrak…ini merupakan satu penghormatan amat bermakna kepada saya,” katanya.
Azam turut menyeru seluruh warga SPRM memberikan kerjasama baik kepada kepimpinan baharu demi memastikan kesinambungan kecemerlangan agensi itu.


