KEMENTERIAN Kewangan (MoF) menjelaskan kerajaan tidak mempunyai rancangan mengehadkan pembelian RON95 kepada sekali sehari di bawah pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95).
Dalam satu kenyataan malam ini, Kementerian itu berkata, walaupun Kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, BUDI95 dilaksanakan dengan hasrat untuk memastikan keperluan harian rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“Had pembelian sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan tersebut,” kata MoF.
Menerusi BUDI95, harga RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept yang akan memanfaatkan 16 juta rakyat.
Semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Setiap rakyat Malaysia layak menggunakan 300 liter RON95 sebulan, tetapi perkhidmatan e-panggilan dikecualikan had penggunaan.
Di bawah sistem baharu itu, bukan warganegara dan individu tanpa kelayakan akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi yang jumlahnya akan ditentukan pada hujung bulan.
Sebagai penghargaan khas, seramai 300,000 anggota tentera dan polis akan menerima manfaat itu lebih awal bermula 27 Sept, diikuti sembilan juta golongan B40 yang layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept.
SEMENTARA itu dalam taklimat kepada media, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mempertahankan keputusan kerajaan mengekalkan subsidi petrol RON95 kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira pendapatan, dengan menegaskan sistem sedia ada masih membawa penjimatan bermakna.
Amir berkata demikian sebagai menjawab kritikan bahawa subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi wajar dihentikan bagi memaksimumkan penjimatan.
“Kerajaan sentiasa mengambil kira realiti dihadapi rakyat. Dengan sistem yang ada sekarang, kita masih mencapai penjimatan,” katanya
Beliau berkata penting untuk tidak memandang remeh nilai penjimatan itu, walaupun jumlahnya mungkin dianggap kecil oleh sesetengah pihak.
“Adakah RM2.5 bilion kecil atau besar? Setiap ringgit dijimatkan akan digunakan dengan cara lain untuk memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Pada awalnya, kerajaan menganggarkan penjimatan sehingga RM8 bilion daripada rasionalisasi subsidi RON95, namun Amir semalam menjelaskan jumlah penjimatan tahunan dijangka sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion.


