Arsenal rampas takhta EPL, tamatkan dominasi City selepas 22 tahun

ARSENAL akhirnya menamatkan kemarau panjang kejuaraan Premier League selepas keputusan seri 1-1 antara Manchester City dan Bournemouth memastikan trofi liga musim ini sah menjadi milik The Gunners.

Selepas lebih dua dekad menunggu, skuad bimbingan Mikel Arteta berjaya mengakhiri dominasi City dan mengembalikan Arsenal ke puncak bola sepak England buat kali pertama sejak musim 2003/2004.

Arsenal sebelum itu sudah meletakkan satu tangan pada trofi kejuaraan apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Burnley untuk terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga.

Kegagalan City membawa pulang tiga mata dari Stadium Vitality akhirnya mengesahkan Arsenal sebagai juara baharu EPL dengan baki satu perlawanan musim ini.

Lebih manis, kejayaan tersebut hadir selepas Arsenal beberapa kali hampir menjulang trofi sejak tiga musim lalu namun terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.

Prestasi konsisten sepanjang musim menjadi kunci kebangkitan Arsenal, termasuk kebolehan bangkit daripada kekalahan kepada City bulan lalu dengan meraih empat kemenangan berturut-turut tanpa melepaskan sebarang gol.

Sementara itu, tekanan jelas dirasai kem City apabila mereka turun menentang Bournemouth di tengah-tengah spekulasi mengenai masa depan pengurus, Pep Guardiola.

Jurulatih berpengaruh dari Sepanyol itu dilaporkan berkemungkinan meninggalkan Etihad selepas sedekad mengemudi City, sekali gus menambah ketidaktentuan dalam kem juara bertahan tersebut.

Walaupun baru meraikan kejayaan menjulang Piala FA selepas menewaskan Chelsea, City gagal meneruskan momentum apabila dipaksa bekerja keras oleh Bournemouth.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan pelawat menerusi jaringan menarik Eli Junior Kroupi pada penghujung babak pertama.

Gol itu turut menyaksikan pemain muda berkenaan mencipta rekod tersendiri sebagai remaja paling prolifik dalam musim sulung EPL dengan 13 jaringan.

City cuba bangkit pada separuh masa kedua dan akhirnya memperoleh gol penyamaan menerusi Erling Haaland pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut hadir terlalu lewat untuk menyelamatkan peluang mempertahankan kejuaraan.

Keputusan itu bukan sahaja menobatkan Arsenal sebagai juara, malah membuka lembaran baharu buat Bournemouth yang berjaya mengesahkan tiket ke kejohanan Eropah buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Dalam masa sama, penyokong City terus memberikan sokongan kepada Guardiola dengan sorakan meminta beliau kekal bersama pasukan walaupun masa depannya masih menjadi tanda tanya.

Aston Villa bakal menjadi lawan terakhir City musim ini dalam perlawanan yang mungkin menjadi penutup era Guardiola di Stadium Etihad.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img