TINDAKAN seorang wanita warga emas memandu secara melawan arus di Lebuhraya Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH) mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya mengesan video tular berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam semalam di Kilometer 10.8 Lebuhraya DASH, Petaling Jaya.
“Suspek merupakan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 80-an yang dipercayai sesat jalan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Wanita terbabit kemudian memandu secara melawan arus bagi mencari susur keluar dari lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, tiada kemalangan dilaporkan berlaku melibatkan kereta dipandu suspek dengan mana-mana kenderaan atau objek lain.
Katanya, suspek sudah berjaya ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, polis mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil,” katanya.


